Tuesday, January 20, 2009
SEDIMENTOLOGI.TEKNIK PERMINYAKAN
SEDIMENTOLOGI GUNAAN


Sedimen merupakan bahan atau partikel yang terdapat di permukaan bumi (di daratan ataupun lautan) dan boleh mengalami proses angkutan dari satu kawasan ke kawasan yang lain.
Air dan angin merupakan agen pengangkut yang utama. Sedimen ini apabila mengeras akan menjadi batu sedimen. Kajian berkenaan dengan sedimen dan batu sedimen ini dipanggil sedimentologi. BATUAN SEDIMEN
Batuan sedimen boleh di bahagikan kepada berbagai jenis;
batuan klastik merupakan batuan yang puncanya berasal daripada suatu tempat lain, dan telah diendapkan dalam lembangan baru setelah mengalami proses pengangkutan.
Contoh batuan klastik ini ialah;
konglomerat
batu pasir
syal
batu lodak
batuan karbonat merupakan batuan yang terbentuk hasil daripada pemendapan kimia daripada larutan, ataupun terdiri daripada endapan hidupan bercangkang mineral karbonat.
Contoh batuan karbonat ini ialah;
batu kapur
dolomit
batuan volkanoklastik yang berasal daripada aktiviti gunung berapi. Debu-debu daripada aktiviti gunung berapi ini akan terendap seperti sedimen yang lain.
Contoh batuan volkanoklastik ialah;
Batu pasir tuf
Terdapat beberapa nama batuan sedimen yang lain seperti;
rijang

APAKAH KEPENTINGAN BATUAN SEDIMEN DAN KAJIAN SEDIMENTOLOGI
Kajian sedimentologi merupakan suatu kajian yang bersifat akademik. Kajian ini memberi kita maklumat berkenaan kewujudan sesuatu batuan, di mana batuan ini terbentuk, punca sedimennya dan dari arah sedimen bergerak dan juga bila sedimen ini terbentuk.
Kepentingan kajian sedimentologi secara umum boleh dibahagikan kepada dua;
kepentingan terhadap sekitaran
kepentingan sebagai bahan mentah





KEPENTINGAN TERHADAP SEKITARAN

Walaupun kajian ini lebih bersifat akademik, tetapi ia ini mempunyai nilai ekonomi yang penting, kerana kajian ini sangat berkait rapat dengan alam sekitar (terutama sedimen yang sedang terbentuk). Untuk membina sesuatu projek pembangunan di tepi laut (contohnya pelabuhan, paip bawah laut dan sebagainya) dan benteng kawalan hakisan, memerlukan kajian sedimentologi yang terperinci. Kajian ini termasuklah kajian terhadap angin, arus lautan, pasang surut dan juga sifat fizik batuan dasar laut. Kajian ini termasuk juga kadar pergerakan sedimen merentasi tapak projek, dan penganggarkan apa akan terjadi setelah projek binaan selesai. Sebagai contoh, suatu projek kawalan hakisan pantai mungkin dapat mengawal hakisan di suatu tempat, tetapi projek ini juga mungkin menyebabkan hakisan berlaku di tempat lain, dan juga pemendapan juga boleh berlaku di tempat lain.
Membangunkan projek perlancungan yang berteraskan alam semula jadi seperti membina hotel yang besar di kawasan pulau memerlukan kajian sedimentologi. Ini bagi memastikan pembangunan yang dibuat tidak memjejaskan alam semula jadi yang menjadi daya tarikan utama. Tempat atau tapak yang akan dibina akan dibersihkan atau diratakan, dan ini akan menyebabkan berlaku hakisan tanah. Lumpur yang terhakis ini akhirnya akan masuk ke laut, dan arus tepi pantai akan menyebarkan sedimen lumpur ini ke tempat tertentu. Kajian arus tepi pantai sangat penting supaya lumpur yang masuk ke lautan tidak mengganggu hidupan lautan, terutamanya terumbu karang yang sangat sensitif dengan perubahan alam sekitar. Jika kita tahu arah pergerakan arus tepi pantai, kita mungkin dapat mengagak pergerakan sedimen lumpur, dan pasti kita boleh bersedia menghadapinya.
Di daratan, kajian proses sungai sangat penting dan berguna untuk perancangan sesuatu kawasan atau bandar. Kajian ini termasuklah kestabilan alur sungai, kekerapan banjir dan faktor kawasan banjir. Sungai berliku akan menghakis satu bahagian tebing, dan memendapkan sedimen baru di tebing yang satu lagi. Jadi apabila kita tahu proses yang sedang berlaku, dan faktor yang dapat mengawal proses ini, perancangan sesuatu kawasan akan dapat dipertingkatkan.
Subjek geologi kejuruteraan merupakan satu lagi lapangan di mana sedimentologi boleh membantu. Dalam kes ini, yang penting ialah sifat fizik sedimen yang terbentuk, dan kesesuiannya untuk dijadikan tapak empangan, jala raya dan juga bangunan tinggi. Jika kajian menunjukkan sedimennya tidak sesuai, sedimen ini mesti di korek keluar, dan ini akan melibatkan kos meningkat. Jika kosnya tertalu tinggi, kita mungkin boleh menasihatkan jurutera supaya mengubah tapak pembangunan ke kawasan yang lebih sesuai.

KEPENTINGAN SEBAGAI BAHAN MENTAH
Pentingnya kajian terhadap batu sedimen tertumpu kepada mendapatkan bahan mentah. Bahan mentah ini boleh dibahagi kepada dua, iaitu;
mendapatkan batu sedimen tertentu daripada lapisan tertentu
mengeluarkan cecair (minyak, gas dan air) dan juga gas daripada rongga-rongga yang ada dalam batu sedimen.

MENDAPATKAN BATU SEDIMEN
BAHAN BINAAN:
Sebahagian daripada batuan sedimen mempunyai sifat yang sesuai untuk dijadikan bahan binaan. Walaupun batu granit merupakan batuan yang paling baik untuk dijadikan bahan binaan, batu kapur juga banyak digunakan untuk dijadikan batu jalan (untuk kawasan yang kurang batuan granit). Kadang-kadang batu kapur dipilih kerana kerja kuari lebih mudah, disebabkan tiada tanah penutup di atasnya.
Pasir merupakan bahan binaan yang utama untuk membina bangunan dan sebagainya. Pasir merupakan sedimen yang belum mengeras menjadi batu.
BAHAN INDUSTRI
Industri memerlukan bahan mentah untuk membuat sesuatu bahan. Industri membina pasu, batu bata dan lain-lain memerlukan sedimen bersaiz halus iaitu lumpur dan mineral lempung yang merupakan bahan sedimen. Bahan ini juga digunakan unutk membuat tile.
Teknologi komputer banyak menggunakan pasir silika, yang banyak terdapat di dalam sungai dan tepi laut. Pasir ini terdiri hampir 100% mineral kuarza. Pasir silika juga digunakan untuk membuat gelas dan bahan kaca.
Kepingan marmar dan batu kapur mempunyai nilai yang tinggi, terutamanya yang mempunyai corak dan warna yang menarik. Batu kapur juga merupakan bahan mentah utama yang digunakan untuk membuat simen.
MINERAL EKONOMI
Kajian sedimentologi jarang digunakan untuk mencari mineral ekonomi seperti emas, berbanding kepentingan sedimentologi dalam pencarian minyak. Ini mungkin kerana proses pemineralan kebanyakannya berlaku di dalam atau berdekatan dengan batuan igneus dan juga metamorf, dan mungkin juga cari pencariannya berbeza.
Banyak mineral atau bahan galian yang berharga terkandung dalam sedimen atau batuan sedimen. Walaupun mineral atau galian ini bukan berasal daripada batuan sedimen, tetapi hakisan yang berlaku dan kemudiannya diendapkan sebagai bahan sedimen menyebabkan mineral atau galian ini banyak terdapat dalam batuan sedimen. Galian ini termasuklah emas, timah, dan boleh juga batu permata.

Mineral ekonomi selalunya mempunyai ketumpatan graviti yang tinggi, contohnya emas dan timah. Untuk mencari mineral ini dalam sedimen resen, kita perlu tahu kekuatan agen pengangkut (air sungai) yang sesuai. Kekuatan arus mestilah tinggi, dan keadaan ini boleh ditemui dalam alur sungai. Biasanya, bila sungai bercantum dengan sungai yang lebih besar, arus akan berubah menjadi lebih perlahan, dan ketika inilah mineral seperti emas dan timah dimendapkan. Jadi kawasan yang sesuai untuk mencari mineral ekonomi dalam sedimen resen ialah di muara sungai.


BAHAN TENAGA
Sebahagian daripada batu sedimen merupakan sumber tenaga yang paling penting pada masa dahulu dan juga sekarang ini. Arang batu merupakan sejenis batuan berasal daripada endapan tumbuhan kuno, yang membentuk lapisan sedimen. Setelah mengalami timbusan yang dalam dan lama (suhu dan tekanan tinggi), lapisan ini berubah menjadi arang batu. Arang batu merupakan petunjuk yang baik, yang menunjukkan sedimen itu terendap di sekitaran daratan.


MENDAPATKAN CERAIR/GAS DALAM RONGGA
Satu perbezaan yang besar antara batu sedimen dengan batu igneus dan juga metamorf ialah rongga. Batu sedimen mempunyai rongga, manakala batu igneus dan metamorf tiada rongga. Rongga yang ada dalam batu sedimen boleh diisi oleh udara (termasuk gas), ataupun cecair (minyak atau air). Air, gas dan minyak merupakan bahan mentah yang sangat penting dalam kehidupan manusia, dan kajian sedimentologi boleh membantu mencari bahan-bahan ini. Tidak boleh dinafikan juga bahawa perkembangan ilmu sedimentologi adalah berkait rapat dengan pencarian minyak dan gas ini.


MINYAK DAN GAS
Minyak dan gas merupakan sumber tenaga yang paling penting di dunia. Kesemua sumber ini hanya ditemui dan berkait rapat dengan batuan sedimen. Minyak dan gas ini adalah berasal daripada hidupan atau bahan organik yang telah mati, terkumpul di sekitaran anaerobic. Semasa tertimbus dan tertekan, punca sedimen ini akan menjadi panas, dan proses yang kompleks ini akan menghasilkan hidrokarbon. Hidrokarbon yang baru terbentuk ini akan berhijrah daripada batuan punca ini melalui batuan yang mempunyai ketelapan yang tinggi, hinggalah pergerakannya tersekat oleh suatu perangkap. Akhirnya bahan hidrokarbon ini akan tertinggal dalam batuan takungan, hinggalah ditemui dan dicarigali oleh manusia. Batuan takungan ini mempunyai rongga-rongga, dan minyak atau gas ini akan tersimpan dalam rongga ini.
Untuk mendapatkan bahan hidrokarbon sesuatu kawasan mesti mempunyai;
batuan punca
batuan takungan
batuan tudung
struktur perangkap

Syal merupakan batuan punca untuk bahan hidrokarbon. Syal juga boleh menjadi batuan tudung yang baik
Batu pasir menjadi batuan takungan yang baik. Minyak dan gas akan mengisi rongga-rongga yang ada dalam batu pasir (porositi tinggi). Batuan takungan di Lembangan Melayu terdiri daripada batu pasir.
Batu kapur juga boleh menjadi batuan takungan yang baik, contohnya di Luconia, kawasan lepas pantai Sarawak.
Sesar & lipatan merupakan struktur perangkap yang penting. Struktur ini menyebabkan minyak dan gas ini akan bertakun dalam batuan takungan, dan tidak akan berhijrah ke tempat lain.

Kerja pencarian bahan hidrokarbon memerlukan belanja yang tersangat besar. Kos untuk membuat satu lubang gerudi akan menelan belanja sampai berjuta-juta ringgit. Untuk itu, kajian sedimentologilah yang paling membantu mencari kawasan yang berkemungkinan ada bahan hidrokarbon ini. Sebelum memilih kawasan untuk digeridu, kajian menyeluruh mesti dilakukan. Kajian secara rantau dibantu oleh kaedah geofizik seperti seismik dapat memberi maklumat berkenaan dengan struktur perangkap yang ada, walaupun umur batuan dan litologi yang ada tidak diketahui. Lubang gerudi pertama inilah yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan pencarian ini. Pengerudian pertama ini boleh memberi kita maklumat umur batuan, litologi dan data geokimia. Dari sini kita boleh tahu samaada lembangan yang dikaji ini mempunyai batuan punca atau tidak, dan samaada batuan punca itu sudah matang atau belum.
AIR BAWAH TANAH
Air merupakan keperluan hidup. Air di permukaan (sungai) tidak mencukupi untuk keperluan manusia, dan kadang-kadang telah dicemari oleh pembangunan. Di kebanyakan bandar besar, air bawah tanah merupakan punca air yang utama. Air ini tertakung dalam sedimen atau batuan sedimen yang mempunyai porositi yang tinggi. Pengambilan air bawah tanah ini perlu dikawal, terutamanya di kawasan tepi pantai, jika tidak, air masin (air laut) akan mancemari air bawah tanah.



posted by kokas @ 11:01 AM  
0 Comments:
Post a Comment
<< Home
 
 
about me
My Photo
Name:
Location: fakfak, KOKAS, Indonesia

aku tak mampu berbicara karena aku hanya seeokor burung cendarawasih yang hanya bisa melihat dan berkicaw melihat semua haal yang tidak adil berlalu begitu saja di depan aku

Udah Lewat
Archives
sutbok
Lorem ipsum dolor sit amet, consectetuer adipiscing elit. Duis ligula lorem, consequat eget, tristique nec, auctor quis, purus. Vivamus ut sem. Fusce aliquam nunc vitae purus. Aenean viverra malesuada libero. Fusce ac quam.
judul

Lorem ipsum dolor sit amet, consectetuer adipiscing elit. Duis ligula lorem, consequat eget, tristique nec, auctor quis, purus. Vivamus ut sem. Fusce aliquam nunc vitae purus. Aenean viverra malesuada libero. Fusce ac quam.

Links
Template by
Blogger Templates